Firman Allah :-
( Al-Anfaal : 46 )
Sudah lama tidak ku update KOPIAH CORNER ini. Atas beberapa kekangan dan tanggungjawab yang hadir menjadikan aku diam seribu bahasa dalam dunia blog ini. Dalam masa yang berlalu ini juga, 1001 peristiwa yang telah berlaku. Ada yang terkejut, dikejut, mengejut dengan beberapa peristiwa yang tidak logik tapi benar. Salah satunya adalah berita penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin. Aku terkejut, tatkala berita itu dijadikan muka depan dada-dada akhbar. Lagi dikejutkan bila penangkapan itu diiringi 35 orang petugas. Hebat sungguh mantan mufti Perlis ini.
Perkara ini mungkin memeningkan masyarakat yang tidak faham dengan isu tauliah yang sememangnya diakui yang Dr Asri ni mempunyai tauliah sebagai ahli dalam agama. Jadi, tauliah apa yang dipersoalkan? Buat makluman semua, Jabatan Agama Islam mempunyai berlainan akta perundangan bagi setiap negeri yang berbeza. Contohnya, Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) tidak sama peruntukan syariah dengan Jabatan Agama Islam Perlis(JAIPs) . Mungkin bagi JAIS pentauliahan di Negeri lain tidak boleh diguna pakai di Selangor. Inilah kepelikan sistem syariah di Malaysia. Mereka tiada sepakatan terhadap perkara-perkara kecil ini.

Namun, selain isu tauliah, terdapat tuduhan-tuduhan melulu terhadap Dr. Asri dari orang-orang yang berilmu agama sendiri seperti wahabi, memalsukan sijil pengajian dan sebagainya. Aku sendiri yag sering meneliti tulisan Dr.Asri dan ada kalanya bersetuju dengan tulisan beliau, tapi, dengan ilmu agama yang sedikit ini, ada tulisan-tulisan beliau yang berlainan dengan apa yang aku faham dan aku susah untuk menyetujuinya. Tapi, adakah kita menggelarnya sesat jika ianya berlainan dengan ilmu yang kita faham. Subhanallah, dalam Islam perbezaan perdapat antara Ulama’ tentang agama adalah kebaikan untuk umat sendiri.
Sebab itulah wujudnya pelbagai mazhab seperti Mazhab yang empat. Isu yang diketengahkan sesetengah pihak seperti wirid lepas solat, doa qunut dalam solat Subuh, bacaan yasin malam Jumaat dan tahlil merupakan khilaf diantara ulama’ dan tidak lari dari amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah, dalam isu ini, aku sering mendengar ianya sebagai Bidaah Hasanah yang mana Nabi tidak melakukannya tapi untuk kebaikan tidak apa dalam Mazhab Syafie. Apa yang Dr. Asri ingin dakwahkan adalah kembali kepada amalan Sunnah yang tulen, bukannya penambahan atau disebut bidaah. Ustaz Zaharuddin, dalam blognya ada menerangkan antara ijtihad yang digunakan pakai dalam khilaf ini ialah :
- tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi,
- menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,
- membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki,
- tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi.
Di Malaysia, bidaah hasanah yang diamalkan agak banyak dan pegangan Mazhab-Mazhab selain Imam Syafie sendiri akan terasa hairan dengan amalan yang dilakukan oleh Masyarakat Malaysia. Namun, atas sebab keharusan dalam perkara ini, ianya menjadi suatu perkara yang dibolehkan. Jadi, apa yang Dr. Asri bawa adalah benar, dan beberapa amalan agama (Tahlil, talkin, wirid selepas solat, bacaan Yassin) yang dilakukan di Malaysia juga dibolehkan, tapi dikategorikan sebagai Bidaah Hasanah.

Perkara yang kedua, Apa itu Wahabi? Wahabi ini adalah suatu pegangan yang diamalkan sebahagian penduduk Timur tengah. Banyak juga tulisan ulama’ membahaskan tentang wahabi ini. Ada yang menyatakan bukannya Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada yang mengatakan sebagai Mazhab. Namun, di Malaysia, Dr. Mashitah sendiri sebagai salah seorang timbalan Menteri agama menyatakan wahabi tidak disytiharkan sesat di Malaysia. Walaupun begitu, ada pegangannya yang tidak selari dengan Mazhab Syafie sendiri. Sebab itu, adanya langkah berjaga-jaga dengan Wahabi ini. Di dada akhbar hari ini juga ( 9 Nov 2009) , Kelompok Intelektual Muslim Muda (KIMM) mendakwa kerajaan menyembunyikan fatwa bahawa fahaman wahabi merupakan sebahagian dari ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.
Tidak sopan apabila tuduhan melulu dibuat kepada seseorang menyatakan dia adalah wahabi. Aku bukan wahabi, dan aku bukan penyokong fanatik Dr.Asri, tapi aku menghormati beliau sebagai Ulama’ yang tinggi ilmunya dan diiktiraf Negara. Rakan-rakanku sekalian, yang penting ialah perbezaan Ulama’ dalam sesuatu perkara itu adalah membawa kebaikan kepada umat dan masyarakat selagimana ianya tidak menyimpang dari syariat. Islam tertegak dengan hujah, bukannya dengan penangkapan. Yang penting, ianya disandarkan kepada sumber Al-Quran & Sunnah. Itu asasnya, dan itulah indahnya agama.
Ikhlas Dariku,

9 NOVEMBER 2009
SHAH ALAM ( 10.00 p.m)
*Adakah anda sependapat dengan saya? Berikan pendapat bernas anda dalam ruangan ulasan & pandangan. Syukran.
BACA ARTIKEL PENUH>>


























